KUALA LUMPUR: Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi masing-masing dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Johor berkuat kuasa serta-merta.

Pengesahan berhubung perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu surat yang dikeluarkan hari ini.

Rozi menggantikan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, manakala Onn Hafiz mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berdasarkan surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang memuat naik surat pelantikan tersebut di laman Facebooknya turut berkongsi berita pelantikan berkenaan.

"Mewakili keluarga besar UMNO juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ahmad Said atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin UMNO Johor dan UMNO Terengganu selama ini.

"Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan Bangsa, Agama dan tanah air," katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid menggesa Ahmad meletak jawatan selepas semua 32 calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu mengalami kekalahan.

Wan Ahmad berkata, Ahmad sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan bekas Menteri Besar Terengganu perlu bertangggungjawab atas kekalahan teruk yang dialami.